AJK Takmir MSSBRPAD adakan lawatan ke Sekolah Muslim Wittaya Phuket



​Oleh : Siti Rokiah Abdullah / Foto : Ihsan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit






BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Februari. - Rombongan daripada Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (MSSBRPAD), Kampung Manggis /  Madang baru-baru ini mengadakan lawatan ke Sekolah Muslim Wittaya Phuket, Thailand atas undangan Yayasan Muslim Wittaya, Phuket.


Rombongan tersebut diketuai oleh Penasihat Jawatankuasa Takmir MSSBRPAD, Kampung Manggis Madang, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong.


Semasa berada di sana, rombongan telah berkesempatan untuk menghadiri Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Muslim Wittaya Phuket bagi tahun 2026 dengan penyertaan seramai 350 pelajar sekolah menengah. Ketibaan rombongan telah disambut oleh Yang Dipertua Yayasan Muslim Wittaya Phuket, Panya Sampaurat bersama ahli-ahli jawatankuasa yayasan.


Majlis pada malam tersebut dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah di Masjid Nasser Ab-Latif Asserkal, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat dan bacaan Surah Yaa Siin. Seterusnya, majlis menyaksikan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran diikuti ucapan daripada Yang Dipertua Yayasan Muslim Wittaya Phuket.


Dalam ucapan perasmian, Yang Dimuliakan Pehin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Yayasan Muslim Wittaya Phuket atas usaha bijaksana melaksanakan sistem pendidikan bersepadu antara pendidikan Ugama Islam dan pendidikan akademik dalam menyediakan generasi Muslim Phuket yang cemerlang pada masa hadapan.


Menurut beliau, pemilihan sistem pendidikan bersepadu atau integrasi merupakan satu langkah berani, signifikan dan tepat pada masanya bagi membentuk generasi muda Islam yang holistik, seimbang dari segi perkembangan spiritual, moral, intelektual dan fizikal, berpandukan ajaran Al-Quran dan Sunnah demi kejayaan dunia dan akhirat.


Beliau turut menekankan bahawa dalam era dunia yang berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti kemajuan pesat ilmu pengetahuan dan teknologi, krisis geopolitik, perubahan kesihatan dan iklim serta ketidaktentuan global, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memastikan generasi kini dan akan datang dilengkapi dengan pendidikan Islam yang kukuh berteraskan Al-Quran dan Sunnah.


Tambah beliau, walaupun beberapa negara Islam telah berusaha melaksanakan sistem pendidikan bersepadu, tidak semuanya mencapai kejayaan sepenuhnya.


Sehubungan itu, Yayasan Muslim Wittaya Phuket disaran untuk terus berusaha bersungguh-sungguh agar sistem pendidikan yang dilaksanakan dapat mencapai objektifnya dengan jayanya, insya-Allah.


Seterusnya, ketua rombongan juga mengucapkan tahniah kepada para ibu bapa yang telah membuat pilihan bijak dengan memilih sistem pendidikan bersepadu untuk anak-anak mereka.


Pada majlis tersebut, Ketua Rombongan juga telah juga menyempurnakan penyampaian Sijil Penghargaan kepada semua pelajar-pelajar yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran.


Sekolah Muslim Wittaya Phuket merupakan sebuah sekolah swasta di bawah kelolaan Yayasan Muslim Wittaya Phuket yang melaksanakan sistem pendidikan bersepadu antara Pendidikan Ugama Islam dan Pendidikan Akademik, bermula dari peringkat taman asuhan, sekolah rendah hingga menengah sejak tahun 1976 serta mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Thailand.


Close